Masalah iman sebenarnya
Allah telah mewar-warkan bahawa Dia amat dekat. Dia juga berkata bahawa, Dia tidak akan memungkiri janji dan kata-Nya.
Justeru, hendak merasa keberadaan Allah SWT itu dekat atau jauh, terpulang kepada keimanan kita. Hendak yakin atau tidak Allah itu dekat, Maha Melihat, Maha Mendengar, Maha Menngetahui, Maha Berkuasa, Maha Perkasa, itu semua terpulang kepada kita.
Tiada paksaan dalam hendak mengimani semua ini. Tiada paksaan di dalam melaksanakan tuntutan Allah. Tapi, kebenaran itu tetap tidak akan berubah dengan pilihan kita. Kalau kita memilih untuk tidak percaya sekalipun, kebenaran bahawa Allah SWT itu amat dekat tidak akan terubah.
Hatta, kalau satu dunia ini tidak beriman akan kewujudan Allah, Allah itu tetap wujud. Yang beriman tetap akan masuk syurga walau seluruh dunia menyeksanya. Yang tidak beriman tetap akan masuk neraka walau seluruh dunia menyayanginya.
“Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Al-Baqarah: 256)
Namun tanda kewujudan Allah, keberdekatannya dengan hamba-Nya, sudah terbukti sebenarnya. Kan? Saya yakin ramai orang pernah merasa.
Sekarang pilihan dibuka. Siapa hendak beriman dengan keimanan yang sebenarnya?
Allah itu dekat. Dia tidak jauh.
Keimanan inilah yang membantu kita dalam langkah seterusnya. Bila yakin bahawa Allah itu bukan sekadar ada, malah dekat, sentiasa memerhati, mendengar dan memberikan sokongan, maka dunia ini akan mampu kita lalui dengan baik, segala perintah-Nya mampu kita jalankan dengan kemas.
Siapa yang susah bila dia berdua? Tambahan bila yang bersamanya itu adalah Yang Tidak Terkalahkan Oleh Sesiapa?
Sebab itu, kalau kita sorot kembali dakwah Rasulullah SAW, masalah keimanan ini adalah yang baginda selesaikan terlebih dahulu.
Nah, bagaimana keimanan anda?
No comments:
Post a Comment