Monday, 18 April 2011

Bila sudah yakin


Bila kita sudah yakin bahawa Allah SWT itu amat dekat, maka hilanglah segala resah gelisah. Susah senang dalam hidup ini kita akan harungi dengan tabah. Bila sedih kita ada tempat mengadu, bila gembira kita ada tempat bersyukur. Bila susah kita ada tempat nak minta tolong, bila senang kita ada tempat untuk luahkan kesenangan kita.

Kita juga akan rasa malu untuk membuat kerosakan dan kemungkaran. Ya, bayangkan anda mencuri di hadapan orang ramai. Adakah anda meneruskan pencurian anda dalam keadaan dilihat? Begitulah apabila kita yakin Allah itu dekat. Tidak segan kah anda berbuat maksiat dengan pemerhatian-Nya?

Kalau kita terbuat juga salah, dosa, maksiat, mungkin teralpa, terlalai atau jatuh dalam kecuaian, maka kita dengan keyakinan bahawa Allah SWT itu dekat, akan segera kembali kepada-Nya, segera meminta keampunan daripada-Nya. Terasa malunya diri, bermaksiat di hadapan-Nya, dalam pemerhatian-Nya.

Sebab itu Ibrahim Adham pernah berkata kepada seorang lelaki yang ingin bermaksiat:
“Kamu boleh bermaksiat, dengan syarat kamu cari satu tempat untuk berlindung dari pandangan Allah SWT”
Di manakah kita hendak cari tempat itu? Semuanya yang ada dalam kehidupan ini, hatta sempadan dunia ini sekali pun, semuanya di dalam liputan kekuasaan pemerhatian Allah SWT. Allah SWT itu, berkuasa atas segala-galanya.
Dia meliputi segala sesuatu (Al Fushilat: 54)

Kalau ada gundah, jangan segan menangis di hadapan-Nya. Dia amat dekat, pertolongannya sentiasa ada. Bila susah, segera mengadu kepada-Nya. Dia lebih dekat dengan kita daripada sesiapa yang dekat dengan kita.
Bila sudah yakin, semua ini anda akan rasa kenikmatannya.

No comments:

Post a Comment